Pada 13 Jun 2024, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof. Dr. Anthony Dass berkata kerajaan berkemungkinan melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 pada Oktober ini. Setakat ini, pelarasan subsidi elektrik telah membawa penjimatan RM4 bilion kepada kerajaan; subsidi ayam sebanyak RM1.1 bilion hingga RM1.2 bilion, dan baru-baru ini subsidi diesel sebanyak RM4 bilion. Kerajaan hanya memerlukan lebih RM2 bilion lagi untuk mencapai sasaran penjimatan Belanjawan 2024 dengan rasionalisasi subsidi RON95.
YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man dalam tulisannya pada 15 Jun mempertikai alasan kerajaan bahawa rasionalisasi bahan api adalah bagi mengekang aktiviti penyeludupan. Beliau menyatakan bahawa jika penyeludupan bahan api menjadi isu, sepatutnya kerajaan memperkuatkan agensi berwajib supaya penyeludupan ini dapat dibendung dan rakyat tidak menerima impak dari kesan domino yang berlaku sekarang ini.
Pemilik akaun FB Mohd Ezairol Rezan Zairol turut mempersoal alasan rasionalisasi bahan api bagi membanteras kegiatan penyeludupan. Beliau yang berpengalaman menjaga perairan negara selama 15 tahun menyatakan bahawa sejak Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dipertingkat pada tahun 2020, aktiviti penyeludupan diesel bernilai sehingga RM5.12 juta telah berjaya dipatahkan.
Menurut bacaan AI, isu ura-ura kenaikan harga petrol ini menjadi tular di media sosial. Ketiga-tiga media sosial utama di Malaysia menerima reaksi negatif terhadap perkara ini. Di Facebook, misalnya, terdapat 30,000 interaksi dengan kebanyakan respon hadir di halaman Berita Harian Online. Di X pula, sebanyak 10,000 interaksi dicatatkan dengan ciapan dari YB Syed Saddiq menjadi tumpuan netizen. Manakala di TikTok, hampir 600,000 tontonan dicapai dengan video Malaysia Gazette menjadi tumpuan ramai. Netizen masih lagi sinis dengan sindiran “saya ulang” dan “saya tak jadi PM” sebagai menujukan rasa kurang senang dengan berita ini. Sesetengah netizen juga mencadangkan penggunaan sistem kad pengenalan supaya tiada ketirisan subsidi berlaku.
Bagi mengelakkan berulangnya masalah yang sama, pihak kerajaan seharusnya mengambil iktibar dari kadar kenaikan SST dan penyelarasan harga diesel baru-baru ini dengan memanggil pemain industri dan wakil-wakil persatuan perniagaan serta masyarakat untuk mendengar pandangan mereka tentang penyelarasan dari pihak kerajaan. Kita tidak mahu lagi isu kerajaan memperincikan semula sesuatu keputusan apabila ia telah dilaksanakan dan rakyat telah pun merasa beban kenaikan kos.
Sumber:
1. Analitika Ilmuwan
2. https://www.astroawani.com/…/terkini-mof-tambah…
3. https://mier.org.my/mier-jangkakan-pelarasan-minimum…/
4. https://www.bharian.com.my/…/pembelian-berulang-ron95…
5. https://www.facebook.com/ustaztitm/posts/pfbid02Gza3JFDMNspzVDWdbRfcJZHD8vsHWfKiV6PGqEjxR2mSxq6oNNRPoax8W44cPpail
6. https://www.facebook.com/share/p/e9dsjKwaDFYqa9hE/?mibextid=oFDknk