Pada 15 Mei yang lalu, KWSP dan Khazanah mengumumkan penubuhan konsortium bersama Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) untuk menswastakan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB). Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini telah menafikan dakwaan bahawa MAHB akan dijual kepada GIP pada Mac lalu, dengan menyatakan bahawa ianya hanyalah andaian pihak pembangkang. Namun, pada 17 Mei, Pemuda Perikatan Nasional menggesa agar sebarang urusan yang berkaitan dengan Israel dihentikan, disebabkan GIP adalah anak syarikat BlackRock, sebuah syarikat yang didakwa membekalkan senjata kepada Israel.
Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, bersama dengan MAPIM dan Viva Palestina, dalam satu kenyataan bersama menggesa kerajaan untuk menimbang semula keputusan membenarkan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel memiliki saham dalam MAHB. Sebanyak 21 organisasi badan bukan kerajaan menyatakan bahawa walaupun GIP dan ADIA hanya memiliki 30% saham dalam konsortium tersebut, ini masih memberi peluang kepada BlackRock untuk terlibat dalam pengurusan dan pemilikan 39 lapangan terbang di Malaysia. Mereka menegaskan bahawa aset strategik negara tidak sepatutnya diserahkan kepada entiti asing, terutamanya yang mempunyai reputasi buruk seperti BlackRock.
Bacaan data dari AI mendapati bahawa isu ini semakin trending di Facebook dan TikTok manakala menurun di X. Di Facebook, hantaran dari Berita Harian mendapat interaksi tertinggi dengan berita bahawa KWSP, Khazanah, ADIA dan GIP akan membentuk konsortium bagi menswastakan MAHB. Manakala di TikTok, video yang mencapai interaksi tertinggi datang dari akaun Suffi Kamari yang membincangkan latar belakang BlackRock dan GIP. Di X, @NewsBFM menjadi pencetus kepada isu ini menerusi ciapan liputan berita mengenai penswastaan MAHB.
Secara keseluruhan, sentimen netizen terhadap isu syarikat pro-Israel memiliki saham dalam MAHB adalah negatif, dengan banyak pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap penglibatan entiti asing dalam aset strategik negara. Netizen serta badan bukan kerajaan mengesa kerajaan supaya menimbang semula penswastaan MAHB.
Sumber:
1. Analitika Ilmuwan
2. https://bdsmalaysia.com/groups-urge-govt-to-reconsider…/
3. https://www.astroawani.com/…/konsortium-diterajui…
4. https://theedgemalaysia.com/node/704181
5. https://www.sinarharian.com.my/…/dakwa-syarikat-pro…
6. https://www.bharian.com.my/…/khazanah-kwsp-tawar-kuasai…
7. https://theedgemalaysia.com/node/711635