Susulan kenyataan media daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), semua perkhidmatan media sosial seperti Google, Meta, dan TikTok perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Peraturan ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025, dan kegagalan platform media sosial untuk memperoleh lesen akan menjadi satu kesalahan serta boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh MCMC. Menurut MCMC, langkah ini bertujuan memerangi jenayah siber seperti penipuan dalam talian dan jenayah seksual, serta mewujudkan ekosistem yang lebih selamat.
Kenyataan ini mendapat reaksi negatif dari netizen di media sosial, dengan ramai yang keliru mengenai pelaksanaan lesen ini. Berdasarkan analisis AI, di Facebook, sebanyak 95% komen condong negatif terhadap kerajaan, di TikTok 70% komen condong negatif serta 25% bersifat neutral. Manakala di X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), 90% komen condong negatif terhadap kerajaan. Netizen merasakan bahawa dengan berkuatkuasanya lesen ini, kerajaan mungkin akan menyekat kebebasan bersuara dan ia boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa. Komen neutral pula menunjukkan netizen bertanya bagaimana pelaksanaan perlesenan ini, sama ada ia perlu diperbaharui setiap tahun dan berapa kos untuk memohon lesen ini.
Walaupun perkara ini tidak melibatkan pengguna media sosial secara langsung, kegusaran netizen dilihat berasas, terutama jika terdapat kos dalam memohon atau memperbaharui lesen yang akhirnya mungkin ditanggung oleh pengguna platform melalui yuran pengiklanan dan sebagainya. Persoalan juga timbul mengenai sejauh mana kehadiran lesen ini dapat menangkis jenayah siber, serta sama ada undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk menyekat jenayah siber. Adakah platform media sosial akan disekat di Malaysia jika terus gagal memohon lesen ini?
Sumber:
1. Analitika Ilmuwan
2. https://www.astroawani.com/…/platform-media-sosial…
3. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2322823
4. https://www.nst.com.my/…/socmed-messaging-platforms…
5. https://www.bharian.com.my/…/platform-media-sosial…