Pada 27 Mac 2024, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa semua pihak harus berhenti mengambil kesempatan atas isu sarung kaki yang tertera kalimah Allah. Baginda berkata beliau sudah pun menitahkan untuk tindakan diambil mengikut lunas undang-undang, oleh itu tidak perlu lagi mana-mana pihak mengapikan kemarahan berterusan. Tindakan yang akan diambil bukanlah untuk menghukum tetapi juga sebagai pengajaran dan peringatan supaya semua pihak menjaga sensitiviti rakyat Malaysia,tambah Baginda.
Isu penjualan stoking yang tertera kalimah “Allah” di KK Mart telah mencetuskan kontroversi besar dan seruan boikot oleh rakyat Malaysia kepada kedai rangkaian KK Mart. Sebagai tindak balas terhadap boikot ini, pengurusan KK Mart telah mengeluarkan permohonan maaf, menekankan bahawa ianya sifat tidak sengaja dan memberi komitmen mereka untuk menangani situasi tersebut secara bertanggungjawab.
Reaksi netizen di media sosial seperti Facebook, X (sebelumnya dikenali sebagai Twitter), dan TikTok menunjukkan majoriti sentimen adalah negatif, dengan mengajak orang ramai memboikot KK Mart. Reaksi netizen ini jelas menunjukkan betapa pentingnya memahami sensitiviti dan menghormati nilai budaya serta agama di Malaysia.
Pada akhirnya, Kalimah Allah perlu dipertahankan dan program-program kesedaran perlu diadakan supaya pekara seperti ini tidak terjadi lagi di masa hadapan. Walaupun tekanan dan boikot boleh diteruskan, namun tindakan yang lebih ektrimis adalah tidak perlu kerana pihak yang terlibat telah pun dibawa kemuka pengadilan. Sebagai seorang muslim kita tidak perlu menghukum dengan secara berlebihan kerana ini akan menjauhkan orang bukan Islam dari mengenali Islam. Buat orang bukan Islam, perlu berlapang dada dengan tindakan terhadap pihak terlibat. Ini bukanya agenda rasis atau anti agama tetapi sekadar proses undang-undang terhadap pihak yang disyaki melakukan kesalahan.
Sekarang bukan masanya untuk rakyat Malaysia berpecah belah hingga hilang rasa hormat terhadap satu sama lain.
Sumber:
1. Analitika Ilmuwan
2. https://www.astroawani.com/…/agong-titah-hentikan…