

Pembangunan sosial merupakan suatu proses pembangunan yang memfokuskan kepada pembentukan manusia dan sistem sosialnya. Selain itu, pembangunan sosial juga berkait rapat dengan program dan dasar yang cenderung kepada penambahan nilai dan pembangunan budaya yang dapat menambah baik kualiti hidup dan kedamaian masyarakat.
Dalam konteks Malaysia, pembangunan sosial bukan sahaja mementingkan pencapaian ekonomi negara dan jasmani masyarakat malah ia juga mestilah digabungkan usaha-usaha yang dapat melahirkan integrasi nasional, meningkatkan kerohanian, kestabilan dan kesejahteraan rakyat. Integrasi nasional amat bernilai di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum kerana ianya merupakan satu usaha untuk memupuk kesefahaman dan perpaduan antara kaum.
Dalam krisis pandemik sekarang, pembangunan negara tidak dapat dinikmati dengan sepenuhnya sekiranya terdapat ketidakseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial. Akibat pertambahan jumlah kes COVID-19 yang meningkat secara mendadak, banyak program-program pembangunan sosial terpaksa dihentikan. Hal ini mengakibatkan, kesejahteraan masyarakat tergugat dan isu kesihatan mental rakyat Malaysia kini berada dalam keadaan yang membimbangkan apabila banyak kes-kes bunuh diri semakin kerap dilaporkan di media massa.
Majoriti penduduk luar bandar mencadangkan agar NGO dan Institusi Pembangunan Sosial membantu dan bekerjasama dengan kerajaan dalam meningkatkan program-program pembangunan sosial. Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 dan Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang di dihasilkan oleh kerajaan boleh menjadi panduan utama organisasi yang berikut untuk melaksanakan program pembangunan sosial yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Selain itu, majoriti penduduk luar bandar mencadangkan supaya dikuatkuasakan undang-undang pemeliharaan sosial dan menggiatkan lagi program keharmonian keluarga. Cadangan ini boleh dilaksanakan dengan merujuk strategi-strategi yang terdapat di dalam Dasar Sosial Negara dan Dasar Keluarga Negara.
Dasar Sosial Negara melengkapi dasar-dasar yang sedia ada seperti Dasar Keluarga Negara, Dasar Wanita Negara dan Dasar Kanak-kanak Negara. Dasar ini memberi penekanan kepada kepentingan mengutamakan kesejahteraan masyarakat sejagat dalam pelbagai aspek, khususnya bio-fizikal, sosio-psikologikal, ekonomi, kerohanian serta persekitaran yang sihat dan selamat manakala Dasar Keluarga Negara memberi penekanan kepada keluarga.
Ketahui dengan lebih lanjut dan terperinci melalui dapatan QGA dalam ‘Analisa Persepsi Solusi Pilihan Rakyat Di Malaysia’ (Zon Tengah Luar Bandar: Kawasan Campuran)’.
Untuk analisis lengkap dalam bentuk pdf dan infografik, anda boleh layari laman web QGA: https://qgenanalysts.org/analisaqga7/