0 4 mins 53 yrs

Tidak dinafikan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terbaik dan mempunyai daya persaingan yang tinggi dari sudut kualiti pendidikan selepas Singapura. Namun, pandemik yang melanda dunia kini secara tidak langsung memberi kesan kepada para guru, murid mahupun ibu bapa dari sudut pendidikan. Kebanyakan negara telah mengarahkan penutupan sementara institusi pendidikan sebagai sebahagian daripada langkah untuk membendung penyebaran pandemik Covid-19. Disebabkan itu, pelbagai alternatif telah dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan institusi ini.

Namun, masalah demi masalah yang muncul merumitkan lagi keadaan semasa dalam memastikan sistem pembelajaran harian dapat dijalankan dengan baik. Kerajaan seharusnya mengambil berat tentang rangkaian masalah yang berlaku ini seterusnya menyediakan solusi yang berkesan bagi mengekang ia dari terus meruncing.

Terdapat 4 cadangan yang dikehendaki oleh rakyat dalam sektor pendidikan:

1. Mengurangkan kos perkhidmatan

Menurut Timbalan Dekan Universiti Putra Malaysia (UPM), kos keseluruhan yuran pengajian di universiti awam bagi tempoh empat tahun pengajian dalam masa 10 tahun akan datang bakal meningkat daripada RM18,000 kepada RM28,286 dengan kadar inflasi sebanyak 4% dan andaian keluarga akan membiayai sebanyak 10% kos pengajian menggunakan simpanan sendiri. Berikutan situasi pandemik semasa, ekonomi sesebuah keluarga terjejas sekaligus sangat terkesan untuk membiayai kos perkhidmatan pendidikan masa kini dan masa yang akan datang.

2. Menambah baik prasarana

Pengajian dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sudah tidak asing lagi dengan sistem pendidikan sewaktu pandemik. Latar belakang pelajar yang pelbagai ini seharusnya diambil kira terutama pelajar yang datang dari keluarga kurang mampu dan yang berasal dari kawasan pedalaman. Selain daripada bantuan bahan belajar, jaringan internet juga seharusnya diperluaskan ke seluruh pelusuk negara. Kerjasama dengan kementerian komunikasi juga perlu diusahakan bagi memastikan capaian pembelajaran secara maya lebih efektif.

3. Menambah baik kemudahan OKU

Selari dengan Artikel 24 di dalam United Nations Convention on the Rights of Persons with Disabilities (UNCPRD) tahun 2008, Malaysia seharusnya terus mengamalkan dasar inklusif dalam penyediaan pendidikan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU). Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disarankan untuk meneruskan sistem pendidikan ini yang memberi keadilan kepada golongan OKU. Sekolah-sekolah di seluruh negara juga seharuskan dilengkapkan dengan kemudahan mesra OKU seperti susur lantai (ramps), susur tangan, tandas OKU dan parkir OKU.

4. Melaksanakan sekolah satu aliran

Kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada perpaduan dan semangat kecintaan kerana tanpa kedua-duanya sukar bagi sesebuah negara mencapai kemajuan yang diidamkan. Namun, sistem pendidikan di Malaysia tidak mengamalkan satu aliran sebaliknya selain mempunyai sekolah kebangsaan, terdapat juga sekolah vernakular. Hal ini menyebabkan kesatuan dalam kalangan murid tidak dapat dibentuk. Akibatnya, asimilasi antara kaum tidak dapat dilaksanakan dan hal ini menyumbang kepada peningkatan jurang kesefahaman antara kaum. Berasaskan Penyata Razak 1956, mewujudkan sekolah satu aliran mampu memupuk perpaduan dan suasana kondusif.

4 cadangan solusi di atas adalah berdasarkan kepada kajian respon rakyat Malaysia yang tinggal di zon tengah luar bandar. Ketahui dengan lebih lanjut dan terperinci melalui dapatan QGA dalam ‘Analisa Persepsi Solusi Pilihan Rakyat Di Malaysia’ (Zon Tengah Luar Bandar: Kawasan Campuran)’.

Untuk analisis lengkap dalam bentuk pdf dan infografik, anda boleh layari website QGA: https://qgenanalysts.org/analisaqga7/

#QGenAnalysts

#GeneratingImpactfulResearch

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *