

Pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dan mata pencarian serta menanggung kerugian teruk dalam perniagaan.
Kesejahteraan dan kebajikan rakyat harus jadi keutamaan kerajaan, kerajaan perlu memastikan kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian.
Terdapat 4 cadangan solusi oleh rakyat dalam soal kebajikan:
1)Penyelarasan fungsi Jabatan Kebajikan Masyarakat, NGO dan agensi-agensi kebajikan
Banyak NGO dan agensi kebajikan yang terlibat dalam proses menyalurkan bantuan kepada rakyat, penyelarasan perlu dibuat untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih lancar, pantas dan cekap serta merangkumi semua golongan yang terkesan tanpa ada yang tertinggal.
2) Penyediaan dana bagi penubuhan rumah perlindungan
Penubuhan rumah perlindungan bagi kanak-kanak, anak yatim, wanita, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas serta yang kurang bernasib baik melibatkan kos yang tinggi, ia sewajarnya mendapat dana sokongan lebih secara langsung daripada kerajaan.
3) Perluasan peranan wakaf/ ‘endowment’ dalam pendidikan, kesihatan dan lain-lain
Penubuhan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) adalah entiti wakaf yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal wakaf di peringkat pesekutuan.
Terdapat 5 fokus utama YWM di dalam menguruskan hartanah wakaf iaitu keagamaan, kesihatan, pendidikan, perlindungan dan penjagaan makanan. Masih ramai rakyat yang tidak tahu akan kewujudan YWM, YWM perlu mempromosi mereka di tengah masyarakat dengan lebih meluas dan kempen kesedaran masyarakat mengenai wakaf perlu diperhebatkan.
Selain itu, YWM perlu mengkaji apakah segmen wakaf lain yang perlu diperluas untuk manfaat rakyat.
4) Merancakkan perusahaan sosial
Geran Padanan Lonjakan Perusahaan Sosial (SEE) berjumlah RM10 juta merupakan sebahagian daripada inisiatif PENJANA melalui padanan sumbangan untuk menyokong kepentingan perusahaan sosial. Inisiatif ini disambut baik oleh rakyat dan rakyat berpendapat ianya perlu diteruskan dan diperluaskan.
4 cadangan solusi di atas adalah berdasarkan kepada kajian respon rakyat Malaysia yang tinggal di zon tengah luar bandar. Ketahui dengan lebih lanjut dan terperinci melalui dapatan QGA dalam ‘Analisa Persepsi Solusi Pilihan Rakyat Di Malaysia’ (Zon Tengah Luar Bandar: Kawasan Campuran)’.
Untuk analisis lengkap dalam bentuk pdf dan infografik, anda boleh layari website QGA: https://qgenanalysts.org/analisaqga7/