
Olimpik Tokyo 2020 telah menutup tirainya pada 8 Ogos 2021. yang lalu. Malaysia telah berjaya membawa pulang 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa menerusi Datuk Azizulhasni Awang, sukan basikal dan pasangan beregu Aaron Chia & Soh Wooi Yik, sukan badminton.
Malaysia berada di tangga ke-74 untuk pungutan pingat di temasya kali ini. Untuk temasya kali ini, kita masih belum berjaya untuk membawa pulang pingat emas pertama yang diimpikan semua.
Berdasarkan rekod, Malaysia pertama kali menyertai sukan Olimpik ini pada tahun 1956 dan telah menggunakan nama ‘Malaysia’ buat pertama kalinya pada sukan Olimpik Musim Panas 1964 di Tokyo. Atlet Malaysia telah melayakkan diri dalam pelbagai acara sukan pada setiap temasya Olimpik yang diadakan.
Lubuk pingat Malaysia banyak diraih melalui acara sukan badminton, basikal dan terjun.
Sepanjang penyertaan Malaysia di temasya ini, kita telah memperoleh sebanyak 13 pingat iaitu 8 perak dan 5 gangsa. Ini menunjukkan kita juga mampu bersaing dengan negara-negara besar lain dan merupakan antara negara yang terbaik di ASEAN.
Di sini juga, kita dapat lihat bagaimana sukan Olimpik ini telah berjaya menyatukan semua rakyat Malaysia untuk menyokong atlet negara walaupun di dalam suasana pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik pada ketika ini. Bersempena bulan Ogos ini, marilah kita memupuk semangat kemerdekaan dan bersatu padu dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan sejahtera. Mari kita sama-sama memperingati pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu yang telah berkorban nyawa dan harta bagi membebaskan kita daripada penjajah.