

Barangan keperluan asas dan utiliti seperti beras, tepung, roti, minyak masak, telur, gas, elektrik dan air merupakan barangan keperluan harian yang sering dibeli dan digunakan oleh semua golongan masyarakat terutama golongan B40.
Namun, harga barangan keperluan ini sering berubah-ubah kerana pergerakan harga barangan adalah berdasarkan konsep “Demand & Supply”. Di sinilah para peniaga yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan terutama ketika kekurangan bekalan.
Majoriti penduduk luar bandar mencadangkan bahawa harga barangan keperluan asas dan utiliti perlu dikawal lebih ketat terutama ketika sambutan perayaan. Tindakan ini dapat meringankan penduduk luar bandar yang majoritinya merupakan golongan B40, iaitu golongan yang memperolehi pendapatan yang rendah dan tidak menentu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merupakan kementerian yang bertanggungjawab dalam mengawal harga barangan keperluan harian. Terdapat 12 barangan keperluan harian yang telah diisytiharkan sebagai barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Barangan tersebut adalah:
-Gula
-Tepung gandum
-Minyak masak
-Baja
-Kerosin
-Bar bulat keluli lembut
-Petrol Diesel
-Roti
-Gas petroleum cecair
-Simen
-Ayam
Di samping itu, majoriti penduduk luar bandar juga mahukan penyaluran bantuan sara hidup berkala kepada keperluan sasar.
Ini dapat membantu rakyat yang memerlukan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Pada ketika ini, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) merupakan salah satu bantuan kerajaan kepada pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan.
Jumlah bantuan semasa kerajaan menerusi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021:
Bujang:
<RM 2500 = RM 350
Keluarga:
<RM 2500 = RM 1200 (≤1 anak) | RM 1800 (≥2 anak)
RM 2501 – RM 4000 = RM 800 (≤1 anak) | RM 1200 (≥2 anak)
RM 4001- RM 5000 = RM 500 (≤1 anak) | RM 750 (≥2 anak)
Bantuan ini perlu diteliti akan keberkesanannya supaya ia mencapai tujuan asal iaitu membantu meringankan kehidupan rakyat.
Selain itu, perluasan khidmat utiliti dan pengawalan faedah pinjaman perumahan juga menjadi sebahagian dari permintaan rakyat. Cadangan-cadangan yang diberikan adalah berdasarkan pandangan rakyat luar bandar di zon tengah Malaysia.
Untuk analisis lengkap dalam bentuk pdf dan infografik, anda boleh layari laman web QGA: https://qgenanalysts.org/analisaqga7/