

Perkhidmatan kesihatan merupakan satu aspek penting untuk sebuah negara membangun. Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan RM30.6 bilion pada tahun 2020 dan RM31.94 bilion pada tahun 2021 kepada KKM untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang baik dapat diberikan kepada rakyat. Walaubagaimanapun, di sebalik peruntukan yang bertambah setiap tahun masih terdapat beberapa aspek sektor kesihatan yang perlu diperbaiki dan ditambah baik.
Majoriti masyarakat luar bandar berpendapat caj bayaran perkhidmatan kesihatan perlu dikurangkan bagi memastikan mereka mampu untuk membayarnya. Pesakit yang mendapatkan rawatan di premis kesihatan kerajaan perlu membayar mengikut jenis rawatan yang diterima berdasarkan kelas yang telah ditentukan oleh KKM. Kos rawatan yang tinggi untuk penyakit seperti kanser dan penyakit jantung membebankan pesakit khususnya masyarakat luar bandar yang mempunyai pendapatan rendah.
Sebahagian besar masyarakat luar bandar juga berpendapat prasarana kesihatan perlu ditambah baik, kekurangan kemudahan di fasiliti kesihatan luar bandar menyebabkan pesakit perlu ke bandar untuk mendapatkan rawatan. Tahap kemudahan kesihatan luar bandar yang membimbangkan telah menarik perhatian Sultan Selangor, yang telah menitahkan agar fasiliti kesihatan luar bandar ditingkatkan dan ditambah baik.
Bilangan hospital dan pusat kesihatan perlu ditambah di kawasan luar bandar untuk meningkatkan akses penduduk luar bandar kepada perkhidmatan kesihatan awam. Kekurangan pusat kesihatan di luar bandar akan menyukarkan pesakit yang perlu mendapatkan rawatan segera. Selain itu, jumlah bilangan pakar perubatan juga perlu perlu ditambah bagi melancarkan operasi semua jabatan di bawah KKM dan menampung bebanan kerja yang semakin meningkat. Secara tidak langsung ini dapat membantu mereka memberikan perkhidmatan yang lancar dan terbaik kepada rakyat.
Cadangan-cadangan ini adalah berdasarkan kepada respon daripada masyarakat luar bandar di Zon Tengah. Ketahui dengan lebih lanjut dan terperinci melalui dapatan QGA dalam ‘Analisa Persepsi Solusi Pilihan Rakyat Di Malaysia’ (Zon Tengah Luar Bandar: Kawasan Campuran)’.
Untuk analisis lengkap dalam bentuk pdf dan infografik, anda boleh layari laman web QGA: https://qgenanalysts.org/analisaqga7/