
Kesan PKP Terhadap Kehilangan Pekerjaan Penduduk Malaysia
5 Jun 2021 l Helmi Rahman
.
Wabak pandemik Covid-19 telah menyerang negara kita bermula awal tahun 2020. Kes positif pertama ialah pada Januari 2020 iaitu apabila Kementerian Kesihatan Malaysia menerima laporan tiga kes disyaki dijangkiti wabak ini. Peningkatan kes positif memaksa kerajaan Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP 1.0 telah dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 sehingga 3 Mei 2020 yang menyebabkan kegiatan ekonomi ditutup untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19. Aktiviti rentas negeri dan perhimpunan ramai juga tidak dibenarkan.
.
PKP 2.0 pula dilaksanakan pada awal tahun 2021 selepas kes positif Covid-19 meningkat secara mendadak pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijalankan pada September 2020. Pasca PKP 1.0 telah menyebabkan banyak syarikat mengalami kerugian dan terpaksa ‘gulung tikar’, seterusnya memaksa syarikat memberhantikan pekerja untuk menjimatkan kos operasi. Sementara itu, mereka yang bekerja sendiri seperti peniaga pasar malam, freelancer dan peniaga katering juga terkesan kerana tidak dapat membuka gerai dan kurang permintaan.
.
JUMLAH TENAGA BURUH SEMAKIN MENINGKAT
Mengikut rekod daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah tenaga buruh meningkat sebanyak 0.04 juta dari 15.83 juta kepada 15.87 juta pada Februari 2020 iaitu sebelum pelaksanaan PKP 1.0. Jumlah ini kemudian menurun selama 4 bulan berturut-turut iaitu ketika pelaksanaan PKP 1.0 dan mula meningkat semula pada Jun 2020 sehingga Mac 2021. Pada awal tahun 2021 iaitu semasa pelaksanaan PKP 2.0, seramai 16.02 juta tenaga buruh direkodkan. Tenaga buruh merujuk kepada mereka yang berumur 15 hingga 64 tahun (dalam tahun genap pada hari lahir terakhir), samada bekerja atau mengganggur.
.
Kadar penyertaan tenaga buruh dalam industri menunjukkan penurunan sepanjang pelaksanaan PKP 1.0 iaitu sebanyak 0.6 peratus dari 68.6 peratus pada Mac 2020 kepada 68.0 peratus pada April 2020. Manakala jumlah luar tenaga buruh (suri rumah, pelajar, bersara atau tidak berminat mencari pekerjaan) semakin meningkat sejak pelaksanaan PKP 1.0 iaitu dari 7.24 juta pada Mac 2020 kepada 7.39 juta pada Mei 2020.
.
JUMLAH PENDUDUK MALAYSIA YANG BEKERJA BERKURANG MENDADAK
Ketika pelaksanaan PKP 1.0, jumlah penduduk yang bekerja berkurang dengan sangat ketara iaitu dari jumlah 15.34 juta pada Februari 2020 kepada hanya 14.89 juta pada Mei 2020. Jumlah ini berkurang sebanyak 0.45 juta dalam tempoh hanya 3 bulan pelaksanaan PKP 1.0. Anggaran sebanyak 0.15 juta penduduk kehilangan pekerjaan setiap satu bulan sepanjang pelaksanaan PKP 1.0.
.
Golongan yang terjejas teruk ialah mereka yang bekerja sendiri, terdiri daripada freelancer, peniaga pasar malam, petani dan peniaga gerai. Jumlah mereka menurun dari 2.69 juta pada Februari 2020 kepada 2.42 juta pada Mei 2020, iaitu sebanyak 0.27 juta dalam tempoh 4 bulan. Walaubagaimanapun semasa tempoh PKP 2.0 pula, jumlah ini menunjukkan sedikit kenaikan sebanyak 0.09 juta iaitu 2.39 juta pada Januari 2021 kepada 2.48 juta pada Mac 2021.
.
JUMLAH PENGANGGURAN MEMBIMBANGKAN
Dapatan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pengganggur meningkat sebanyak 5.0 peratus pada bulan kedua pelaksanaan PKP 1.0 daripada hanya 3.9 peratus pada Mac 2020. Pada bulan pertama pelaksanaan PKP 1.0, jumlah penganggur hanya berjumlah 610.5 ribu, kemudian meningkat kepada 778.8 ribu pada bulan kedua, seterusnya bertambah kepada 826.1 ribu pada Mei 2020. Walaupun pelbagai inisiatif kerajaan seperti Program Subsidi Upah telah berjaya mengurangkan jumlah penggangguran kepada 773.2 ribu pada Jun 2020, namun kadar pengangguran masih berada pada tahap yang membimbangkan iaitu melebihi 4.7 peratus sejak April 2020.
.
Walaupun negara pernah berhadapan kadar penggangguran yang lebih tinggi iaitu pada kadar 7.4 peratus pada tahun 1988, namun jumlah tenaga buruh ketika itu tidak setinggi pada masa ini. Jumlah pengganggur pada tahun 1988 berjumlah 461.9 ribu manakala jumlah pengganggur pada Mac 2021 pula seramai 753.2 ribu. Kadar penggangguran di kalangan belia berumur 15 – 24 tahun juga meningkat. Dari hanya 11.3 peratus pada Mac 2020 kemudian meningkat kepada kadar 14.2 peratus pada Mei 2020. Kadar ini kekal di atas 13.0 peratus pada Mei 2020 dan semakin meningkat pada awal tahun 2021.
.
KESIMPULAN
Secara asasnya, ramai yang akan kehilangan pekerjaan jika PKP 3.0 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini dilaksanakan dengan menutup ekonomi seperti PKP 1.0. Untuk mengekang penularan jangkitan wabak Covid-19 dan mengurangkan jumlah penggangguran penduduk, kerajaan perlu memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pada tahap yang tinggi, mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat dan menutup operasi syarikat dan kilang secara bersasar mengikut kadar jangkitan Covid-19.
.
Kerajaan perlu mengambil contoh kepantasan Program Imunisasi di England yang menyumbang kepada pembukaan semula dan merancakkan sektor ekonomi di sana. Pada masa artikel ini ditulis, pemberian dos pertama vaksin hanya pada kadar 6.72 peratus atau 2.2 juta daripada jumlah populasi rakyat Malaysia, manakala hanya 3.42 peratus atau 1.12 juta yang melengkapkan dua dos vaksin. Manakala di England, seramai 51.3 peratus menerima dos pertama dan 31.4 peratus melengkapkan dos kedua.
.
Rakyat juga perlu memainkan peranan untuk mendaftar diri ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan dan meningkatkan kefahaman tentang kepentingan vaksin khususnya kepentingan membuka semula sektor ekonomi yang terjejas seterusnya mengurangkan kadar penggangguran penduduk negara ini.
.
Sumber:
[1] Berita Harian, 17 Mac 2020, Kronologi Covid-19 di Malaysia.
[2] Jabatan Perangkaan Malaysia, Laporan Perangkaan Tenaga Buruh Malaysia, Mac 2020 – Mei 2020.
[3] Berita Harian, 30 Mei 2020, Kes Covid-19 di UK Menurun Bukti Kejayaan Awal Vaksin