0 3 mins 53 yrs

Apa itu Brought In Dead (BID)?

10 Jun 2021 l Syakirin Salahuddin

.

Kes brought-in-dead merujuk kepada kes kematian yang berlaku di luar hospital melibatkan pesakit COVID-19 yang tidak menunjukkan sebarang gejala. Menurut Datuk Seri Adham Baba, dalam satu sidang media bertarikh 3 Jun 2021, pola kematian dalam kalangan pesakit COVID-19 di negara ini semakin membimbangkan manakala kes ‘brought in dead’ (BID) atau meninggal dunia ketika dibawa ke hospital semakin menunjukkan peningkatan setiap hari, terutamanya melibatkan golongan muda yang berusia bawah 30 tahun.

.

Pesakit COVID-19 dalam kes brought-in-dead (BID) ini tidak sempat ditempatkan ke hospital dan antara sebab kematian didapati berpunca daripada kandungan oksigen dalam badan yang rendah. Beliau menjelaskan bahawa hal ini dikaitkan dengan ‘happy hypoxia’ yang pernah dilaporkan dan dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini, yang mana pesakit COVID-19 yang dikenalpasti tidak mengalami sebarang gejala.Namun hakikatnya kandungan oksigen dalam badan mereka sebenarnya terlalu rendah dan situasi ini langsung tidak disedari melainkan setelah ianya telah terlambat.

.

Pada bulan Mei yang lalu, sebanyak 123 kematian melibatkan pesakit COVID-19 yang mati tanpa sempat menerima rawatan dalam kes brought-in-dead (BID) telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Yang mana jumlah tersebut mewakili 47%  daripada 261 jumlah kes BID yang telah direkodkan di Malaysia pada tahun ini. Data setakat 31 Mei 2021 menunjukkan daripada sejumlah 2,976 kes kematian yang melibatkan COVID-19 dalam negara, sebanyak 10% atau 293 pesakit COVID-19 tersebut meninggal sebelum sempat menerima rawatan di hospital.

.

Menurut Pakar Kesihatan, disamping kajian mendalam yang perlu dijalankan untuk mengetahui punca sebenar berlakunya perkara ini, terdapat dua faktor yang mungkin menyumbang kepada berlakunya peningkatan dalam kes brought-in-dead (BID). Faktor yang pertama adalah sikap sesetengah pesakit COVID-19 yang tidak menganggap serius simpton yang dihadapi, sehingga keadaan kesihatan mereka menjadi semakin teruk dan akhirnya meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital. Manakala faktor kedua ialah kemungkinan tersebarnya varian coronavirus SARS-CoV-2 yang lebih berbahaya yang menjadi penyebab kepada COVID-19.

.

Walaupun peningkatan dalam kes brought-in-dead (BID) ini sangat membimbangkan, hal ini seharusnya menjadikan kita lebih berjaga-jaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti jarak sosial dan memakai penutup mulut ketika berada di luar sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya penularan wabak ini.

 

 

Sumber :

[1] Kementerian Kesihatan Malaysia

[2] Karim, L. A. A. (2021, Jun 3). Pembendungan khusus diperlukan elak kematian tinggi. Berita Harian.

[3] Othman, A. D. P. B. (2021, Jun 2). INTERACTIVE: More Covid-19 patients are being brought in dead – why this happens and what needs to be done. The Star.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *