Pada 11 Januari, Prof. Wong Chin Huat, seorang anggota pengasas BERSIH, menyarankan penggunaan Akta Parlimen Berpenggal Tetap sebagai cara untuk menghentikan permainan Surat Akuan (SD). Menyusul pada 13 Januari, Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi mengusulkan RUU baru untuk menjamin kestabilan kerajaan hingga penghujung penggal. Namun, pada 14 Januari, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengkritik cadangan tersebut sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan tindakan terdesak. BERSIH menganggap akta ini perlu untuk menstabilkan politik Malaysia, dan Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said menegaskan bahawa akta ini adalah untuk menghormati proses pilihan raya, bukan sebagai langkah terdesak.
Menurut Pensyarah di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Profesor Madya Muhammad Fathi Yusof, penggal tetap Parlimen dapat mewujudkan kepastian dari sudut penjadualan pilihan raya berbanding amalan pembubaran Parlimen atau DUN lebih awal mendorong parti-parti politik memulakan kempen tidak rasmi terlalu awal. “Namun pindaan kepada peruntukan ini belum memadai bagi menjamin kedudukan jawatan seseorang Perdana Menteri. Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, pada dasarnya kedudukan seseorang Perdana Menteri tetap terikat kepada kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat,” katanya.
Ini memungkinkan pertukaran PM boleh berlaku melalui SD, tanpa pembubaran Parlimen.
Dalam analisis media sosial isu terkini, QGA mendapati respons yang tidak seimbang antara Facebook (73%) dan X (15%) berkenaan dengan cadangan oleh BERSIH dan kerajaan. Di Facebook, kebanyakan respons berlaku di laman-laman berita seperti Awani, Sinar Harian, dan Berita Harian, dengan lebih daripada 95% menunjukkan ketidaksetujuan terhadap cadangan tersebut. Sentimen umum termasuk kritikan terhadap persepsi kerajaan yang panik dan takut kehilangan kuasa, dengan ramai yang mencadangkan bahawa kerajaan yang tidak berprestasi tidak perlu menunggu hingga tamat penggal untuk bertindak.
Sebaliknya, di X, di mana 60% daripada respons merupakan Retweet dari jumlah 1.5K, kebanyakan berlaku pada ciapan oleh @AzalinaOthman. Di sini, 70% menyokong akta tersebut, menyatakan potensinya untuk membawa kestabilan politik dan mengelakkan perubahan cepat dalam kepemimpinan Perdana Menteri, serta untuk menghalang usaha menggulingkan kerajaan. Walau bagaimanapun, penentangan yang signifikan juga diperhatikan di X, dengan ramai yang melihat langkah ini sebagai tindakan terdesak, menunjukkan peralihan ke arah diktatorship, dan mencadangkan pindaan kepada undang-undang anti lompat parti.
Cadangan ini mungkin timbul selepas ada desas desus sejak Disember 2023 mengatakan kerajaan akan bertukar tampuk pemerintahan, apabila terdapat ura-ura beberapa ahli parlimen tidak lagi menyokong Kerajaan yang ada sekarang. Isu ini menjadi perhatian netizen, apabila Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) menamakan isu dengan nama “Langkah Dubai”
Sumber:
1. Analitika Ilmuwan