0 3 mins 52 yrs

Akhir-akhir ini terdapat banyak laporan yang melaporkan tentang isu pelarian Rohingya di Malaysia. Isu ini amat membimbangkan masyarakat kerana bilangan pelarian Rohingya semakin meningkat.

Walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, Malaysia tetap menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya.

Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Malaysia tidak lagi dapat menampung lebih ramai pelarian kerana sumber dan kapasitinya sudah mencapai hadnya, ditambah pula dengan pandemik Covid-19.

3 Fakta tentang pelarian Rohingya:

1) Jumlah pelarian seramai 101,584 orang

Sehingga Mac tahun lalu, terdapat seramai 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal secara sementara di Malaysia. Daripada jumlah itu, 56.6 peratus atau 101,584 orang daripada etnik Rohingya.

UNHCR berkongsi data statistik ini dengan Kementerian dan Agensi kerajaan setiap bulan. Statistik UNHCR menunjukkan berapa ramai orang yang UNHCR mampu daftar, bukan jumlah kedatangan baru ke Malaysia.

2) Memegang kad UNHCR

Kebanyakan pelarian Rohingya memegang kad UNHCR, suatu dokumentasi yang bertujuan untuk mengiktiraf status orang pelarian dan pemohon suaka yang memerlukan perlindungan antarabangsa.

Dokumen UNHCR membantu melindungi mereka dari diusir ke negara asal mereka di mana nyawa dan kebebasan mereka mungkin terancam. Setiap negara terikat kepada undang-undang adat antarabangsa tanpa mengira samada ia menandatangani Konvensyen 1951 Berkaitan Status Orang Pelarian atau tidak.

Kad UNHCR ini bukan lesen memandu, dokumen undang-undang, dokumen perjalanan, atau permit penetapan. Ia tidak memberi pemegangnya kekebalan dari tindakan undang-undang, mereka harus mematuhi undang-undang negara tuan rumah. Mereka tidak akan kehilangan kad pelarian secara automatik jika mereka melakukan jenayah kecuali kesalahan yang serius.

3) Rohingya adalah pelarian, bukan PATI

PATI adalah mereka yang berada di sesebuah negara tanpa dokumen yang sah. Mereka tetap mendapat perlindungan dari kerajaan negara mereka, nyawa serta kebebasan mereka tidak terancam jika diusir pulang.

Berbeza dengan pelarian Rohingya, mereka lari daripada negara asal akibat peperangan dan pencabulan hak asasi manusia. Nyawa serta kebebasan mereka terancam jika pulang negara asal.

KESIMPULAN

Dalam isu ini, Malaysia perlu menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

Rujukan: KDN & UNHCR Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *