
10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Ekonomi Dunia Tahun 2021
1 Januari 2021 l Anas Rosen
Pada tahun 1946, dunia berdepan dengan kemuncak ‘The Great Depression’. Pakar ekonomi dan ahli sejarah menyifatkan tempoh tersebut adalah peristiwa kemelesetan ekonomi yang paling teruk di abad ke-20. Siapa sangka, 74 tahun kemudian, kita bakal dihambat pandemik yang memaksa kita untuk menghadapi krisis ekonomi global yang serupa malah lebih kritikal berbanding kejadian pasca Perang Dunia Ke-2 tersebut?
Berikut adalah 10 perkara yang anda perlu tahu tentang ekonomi dunia pada tahun 2021 untuk membantu anda dan memandu perancangan organisasi anda untuk pengurusan ekonomi yang lebih baik.
.
- Kesan Vaksin Pada Ekonomi
Rawatan dan vaksin yang berkesan akan tersedia secara meluas bagi kegunaan majoriti penduduk dunia bermula suku kedua tahun 2021. Umum maklum pandemik ini tidak akan hilang pada tahun 2021 kerana keupayaan virus ini bermutasi sentiasa mewujudkan risiko wabak pada skala kecil dalam tempoh yang berkala. Di penghujung Disember 2020, kita disajikan dengan khabar versi terbaru virus yang mula bertapak di Great Britain, mempunyai 23 mutasi dan 56% lebih mudah menular menurut kajian.
Walau bagaimanapun, kewujudan rawatan antibodi dan antivirus yang lebih luas akan memastikan bahawa ‘Lockdown’ di peringkat global dan Perintah Kawalan Pergerakan dalam konteks Malaysia yang dihadapi hampir sepanjang tahun 2020 tidak lagi diperlukan. Oleh yang demikian, masyarakat akan menjalani kehidupan pasca pandemik seperti sedia kala yang membolehkan kegiatan ekonomi akan kembali pulih.
.
- Pertumbuhan Ekonomi Global
Ekonomi global pada permulaan 2021 bakal menyaksikan pertumbuhan yang lemah dan meningkat dengan pantas pada separuh kedua. Punca pertumbuhan yang perlahan pada awal tahun ini masih berlegar sekitar faktor penutupan sektor ekonomi kerana pandemik, menghadkan kuasa beli pengguna, ‘money velocity’ yang rendah dan tekanan kenaikan hutang awam dan swasta.
Namun, pembukaan semula ekonomi dan ketersediaan vaksin secara berperingkat akan menjanjikan gelombang baru perbelanjaan untuk industri pelancongan dan perkhidmatan. Selepas penurunan 4.2% pada tahun 2020, KDNK global diunjurkan meningkat sekitar 4.6% pada tahun 2021.
.
- Fokus Pelabur
Tumpuan pelabur dan penggubal dasar akan beralih dari sektor yang berkait dengan COVID-19 seperti industri pembuatan peralatan perubatan dan kesihatan kepada sektor yang berkait dengan persekitaran, sosial dan urus tadbir. Hal ini kerana kriteria ESG (Environmental, Social and Governance), sudah menjadi faktor penentu dalam hala tuju sesebuah syarikat di peringkat global, lebih-lebih lagi dalam fasa pemulihan ekonomi.
Pola lain adalah tumpuan pelabur akan terarah ke arah sektor ‘sustainable’ atau sektor lestari. Kesan yang lebih besar dapat dilihat jika faktor ini dilengkapi dengan aspirasi ESG. Dalam sudut pandang yang berbeza, tumpuan kepada faktor ESG ini akan menyukarkan pengeluar tenaga dan komoditi, kerana pelaburan baru akan meneliti nilai ESG mereka.
.
- Polisi Kewangan Dunia
‘Federal Reserve’ (Fed), sistem perbankan pusat Amerika Syarikat (AS), menggunakan pendekatan baru yang menyaksikan sasaran purata inflasi sekitar 2%. Oleh yang demikian, polisi kewangan AS akan kekal bersifat akomodatif dengan meningkatkan peruntukan kewangan mereka. Hal ini menyebabkan lebih banyak bank pusat akan cenderung kepada kerangka Flexible Average Inflation Targeting (FAIT) AS ini. Malah, European Central Bank (ECB) berkemungkinan besar akan mengikuti jejak langkah Fed terhadap FAIT ketika memuktamadkan strategi kewangan pada pertengahan 2021. ‘Monetary easing’, sebuah sistem yang menyaksikan Fed memudahkan pinjaman, juga akan berakhir dalam industri yang berkembang pesat.
.
- Peranan Sektor Kewangan Dunia
Sektor kewangan global harus mengelakkan krisis besar pada tahun 2021. Pembaharuan dasar pasca krisis kewangan global bakal menghasilkan ‘capital buffer’, iaitu sebuah modal yang wajib dimiliki oleh institusi kewangan, jauh lebih besar dan seterusnya keadaan ‘liquidity’ atau mudah tunai yang lebih baik di seluruh bank di peringkat global.
Memandangkan institusi kewangan tidak akan berdepan dengan transaksi pinjaman yang pesat pasca pandemik ini, sektor perbankan disarankan untuk lebih bersedia untuk menghadapi cabaran statistik bankrap yang bakal meningkat dan kadar pengangguran yang tinggi.
.
- Harga Barang
Harga barang akan meningkat pada tahun 2021. Hal ini kerana harga komoditi meningkat mendadak pada separuh kedua tahun 2020 ketika ekonomi global pulih. Kenaikan kos ini akan terus naik mencanak menelusuri rantaian bekalan daripada pembekal kepada pengguna selama enam hingga sembilan bulan ke hadapan, sekali gus menyebabkan harga barang yang sampai di tangan pengguna akhir akan jauh lebih tinggi pada tahun 2021.
Gangguan rantaian bekalan yang dihadapi sepanjang tahun 2020 akan beransur untuk menemui penghujungnya dengan kos besar yang bakal menanti. Pergerakan aliran tunai akan kembali memulih dengan kembali hidupnya sektor pekerjaan yang sebelumnya terbantut.
.
- Ekonomi AS
Ekonomi AS memainkan peranan penting dalam ekonomi global. Sempadan yang agak terbuka dan proses keluar masuk produk yang mudah dengan cukai sifar atau rendah, telah membantu memastikan kadar inflasi AS sentiasa dalam keadaan terkawal. Ini membolehkan Federal Reserve (Fed) kekal tenang dan stabil tanpa menaikkan faedah walaupun boleh sahaja untuk melakukan sedemikian.
Ekonomi AS sebahagiannya telah pulih dari kemelesetan ekonomi terburuknya sejak ‘The Great Depression’. Walau bagaimanapun, gelombang baru pandemik berkemungkinan mengakibatkan pengenaan semula ‘Lockdown’, meminimakan kesan langkah-langkah bantuan pandemik yang dijalankan seterusnya memberi ancaman tergendalanya pertumbuhan ekonomi pasca suku pertama dan kedua tahun 2021. Namun, kemajuan vaksin yang berkembang dengan sangat pesat setidaknya akan memberi imbal balik kepada kemungkinan tersebut dan mendorong peningkatan KDNK pada separuh kedua tahun ini.
.
- Ekonomi Eropah
Kadar pertumbuhan tahunan Eropah akan jatuh dari jangkaan pasaran. Selepas suku akhir 2020 yang lemah, penularan virus COVID-19 dan langkah-langkah kawalan akan terus merencatkan pemulihan pada awal tahun 2021. Kegagalan dalam sektor perniagaan yang melanda dan krisis pengangguran juga akan mengekang pertumbuhan apabila sokongan oleh penggubal dasar berkurang.
Sungguhpun begitu, menerusi penggunaan vaksin yang meluas di Eropah, jangkaan peningkatan yang ketara akan bermula daripada pertengahan tahun. Setelah anggaran kemerosotan 7.5% pada tahun 2020, KDNK Eropah diramal bakal meningkat sekitar 3.5% pada tahun 2021, dengan pengembalian ke tahap pra-pandemik yang tiba seawal penghujung tahun 2022.
.
- Ekonomi China
Laporan terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertajuk World Economic Outlook, October 2020: A Long and Difficult Ascent mengesahkan bahawa China telah memintas Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia. Pada tahun 2021, dominasi ekonomi China akan terus meningkat ke tahap pertumbuhan terkuat dalam beberapa tahun yang mendatang, namun kadar pemulihan kesan daripada pandemik dilihat pada kadar yang minima.
Pelancaran vaksin COVID-19 yang berkesan, dengan permintaan yang bakal memuncak, akan membantu ekonomi China tumbuh 7.5% pada tahun 2021, kadar tertinggi sejak 2013. Selepas tempoh pemulihan ini, ekonomi China akan kembali menyerupai graf penurunan seperti yang dihadapi awal tahun 2012, ketika pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan sebagai proses mendepani reformasi ekonomi yang sebelumnya tergendala.
.
- Nilai Mata Wang
Pertama, nilai mata wang Dolar AS dijangka susut pada tahun 2021 sebagai tindak balas terhadap tindakan Federal Reserve (Fed) melaksanakan dasar akomodasi kewangan pada awal 2020 yang menyebabkan peningkatan ‘risk-tolerance’ dalam kalangan pelabur dan defisit perdagangan yang semakin membesar.
Jika di Eropah, polisi akomodasi yang bakal dilaksana European Central Bank (ECB) dalam mengikut jejak langkah Fed, harus bergantung pada kenaikan nilai mata wang Euro yang lebih besar. Sungguhpun begitu, faktor luar seperti jangkaan Dolar AS yang susut dan lebihan akaun semasa yang berterusan juga menunjukkan wujudnya peningkatan risiko nilai mata wang Euro dalam tahun yang mendatang.
Manakala di Asia, Yen Jepun akan bertambah baik hasil pengukuhan eksport dan kadar inflasi yang agak rendah. Renminbi pula akan disokong oleh ekonomi tanah besar China yang meningkat dengan cepat dan dasar kewangan yang konservatif. Dasar ini yang menghadkan pergerakan kadar pertukaran dalam sektor ekonomi yang utama, akan memberikan gambaran bahawa turun naik nilai mata wang akan berlaku sekitar sektor ekonomi yang baru muncul dan meningkat naik.
.
.
- Rumusan
Demikian 10 perkara yang anda perlu tahu tentang ekonomi dunia pada tahun 2021. Waktu sukar yang dihadapi di peringkat global dalam konteks ekonomi memberi tamparan besar buat mereka yang tidak punya penilaian dan perancangan kewangan yang baik. Dengan bersikap cakna akan selok-belok ekonomi dunia, langkah pertama menuju aspirasi celik ekonomi telah dimulakan. Marilah kita melangkah ke tahun baru dengan ilmu, persiapan dan persediaan untuk mendepani cabaran yang mendatang.
.
Sumber: Top 10 Economic Predictions for 2021 by IHS Markit